PENYUSUAN SUSU IBU MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM
Manusia adalah makhluk yang dijadikan oleh Allah swt sebagai khalifah di muka bumi ini. Kita
dijadikan sebagai insan yang lemah ketika dilahirkan, dan berupaya untuk berdikari apabila meningkat
dewasa. Kita amat bergantung kepada kasih sayang ibu dan bapa yang melahirkan dan membesarkan
kita. Kasih sayang yang dicurahkan melalui penyusuan susu ibu, menjadi pengikat kasih yang kuat
antara kita dengan ibubapa. Penyusuan susu ibu mengandungi banyak kelebihan yang tersurat dan
juga yang tersirat.
Penyusuan susu ibu merupakan salah satu komponen utama dalam pendidikan awal seorang anak.
Peranan mendidik anak melalui penyusuan ini, hanyalah dianugerahkan kepada kaum wanita sahaja.
Allah swt telah memilih kaum wanita kerana sifat keibuan yang kuat dalam diri mereka.
Setiap bayi yang baru lahir, dikurniakan naluri untuk menyusu pada payudara ibunya. Penyusuan
susu ibu mampu melengkapi segala keperluan rohani dan jasmani yang diperlukan oleh seseorang
bayi. Oleh itu, penyusuan susu ibu telah dijadikan Allah swt, sebagai suatu perkara yang wajib
dilaksanakan oleh setiap ibu yang melahirkan anak. Ketetapan tentang kewajipan ini telah di sebut
Para ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua
tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.
(surah Al Baqarah ayat 233)
Menurut sejarah Islam, para nabi dan rasul juga disusui oleh ibu-ibu mereka, sama ada ibu yang
melahirkan, ataupun ibu susuan. Nabi Muhammad saw juga disusui oleh ibunya Siti Aminah dan
kemudiannya disusui oleh ibu susuannya Halimah As-Sa’diyyah. Begitu juga Nabi Musa a.s yang
dihanyutkan ke Sungai Nil setelah disusui oleh ibunya, dan kemudiannya ditemukan semula oleh
Allah swt dengan ibunya. Setelah keluarga Firaun mencari ibu susuan untuk nabi Musa a.s di seluruh
pelusuk negeri, akhirnya bertemu dengan ibu baginda sendiri, tanpa diketahui oleh keluarga Firaun.
Kisah ini telah diceritakan di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Qasaas.
“ Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa : susukan ia dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka
jatuhkan ia kedalam sungai (Nil) janganlah kamu khuatir dan janganlah pula kamu bersedih hati
kerana sesungguhnya kami akan mengembalikan nya kepadamu dan menjadikannya ( salah seorang )
daripada para Rasul. ”(al-Qasas:7)
Sekiranya kita hayati pengajaran disebalik kisah para rasul ini, pasti kita dapat rasakan, bahawa,
bertapa besarnya peranan penyusuan susu ibu di dalam kehidupan manusia. Manusia yang hidup pada
zaman dahulu, hanya bergantung pada susu ibu untuk membesar sehingga umur mereka dua tahun,
tetapi amalan tersebut semakin lama, semakin ditinggalkan, oleh masyarakat hari ini.
Renung renung kan lah…..